Sabtu

Nukilan Tinta Qasih

Bertanya pada diri
tentang takdir dan suratan
tentang hati dan budi
tentang hari ini dan semalam.

Lantas fikir membuka hikayat
rasional lantang mendebatkan.

Kata fikir:
takdir mengajak kita pasrah
suratan mengajar kita berserah.

Kata rasional:
takdir menuntut ketabahan
bukan sekadar pasrah semata
suratan menggamit kesedaran
agar tak kecundang dan hanya berserah.

Kata fikir:
hati itu lukisan keinsanan
budi itu cerminan peribadi.

Tapi kata rasional:
hati itu tak seluhur keinsanan
bertiangkan emosi berpasakkan nafsu
budi itu sekadarnya bukan peribadi
tunjangnya budaya akarnya bangsa.

Hujah fikir:
hari ini harus ditempuh
semalam harus ditinggalkan
kerana semalam telah berlalu
dan takkan mengubah hari ini.

Namun rasional tetap menegaskan:
tanpa semalam
hari ini hanyalah omongan kosong
dan igauan semata.

0 kata hati:

 
template by suckmylolly.com flower brushes by gvalkyrie.deviantart.com