Selasa

Syukur....

Sejak dari mula lagi, ibubapa Lina tidak berapa setuju tentang hubungannya dengan Khairil. Ibubapa Lina tidak suka latar belakang keluarga Khairil yang tidak setaraf dengan keluarga mereka dan mereka berpendapat hidup Lina tidak akan bahagia jika berkahwin dengan Khairil.


Disebabkan tekanan dari ibubapanya, Lina dan Khairil selalu bergaduh walaupun Lina menyintai Khairil sepenuh hatinya. Khairil pula bukanlah seorang lelaki yang pandai bermain dengan kata-kata. Itu yang membuatkan Lina selalu berkecil hati. Tekanan dari ibubapanya membuatkan Lina selalu melepaskan geram dan marahnya kepada Khairil tapi Khairil cuma berdiam diri apabila dimarahi.


Selepas beberapa tahun, Khairil menamatkan pengajiannya di universiti dan berhasrat untuk melanjutkan pelajarannya ke luar negara. Permohonan untuk melanjutkan pelajarannya itu diterima. Sebelum berlepas dia telah melahirkan hasratnya untuk melamar Lina.


"Aku tidak pandai bermadah dan bermain dengan kata-kata cinta yang indah tapi aku sangat cinta padamu. Sekiranya kamu mengizinkan, aku akan menjaga mu selagi aku bernafas. Tentang keluargamu, aku akan uruskan dengan sebaik-baiknya. Biar aku bertemu mereka untuk melamarmu"


Lina sangat gembira mendengar berita itu. Melihat Khairil yang begitu bersungguh, akhirnya ibubapa Lina mengalah dan menerima lamaran itu dengan hati yang terbuka. Sebelum Khairil berangkat ke luar negeri, upacara pertunangan di antara mereka berdua dijalankan secara sederhana.


Selepas Khairil berangkat ke luar negeri, Lina mula mencari pekerjaan. Dia berjaya mendapatkan pekerjaan di sebuah syarikat swasta. Walaupun sibuk bekerja, Lina tidak lupa untuk berhubung dengan Khairil melalui email dan panggilan talipon. Walaupun percintaan jarak jauh sungguh mencabar bagi mereka berdua, namun kedua-duanya tetap teguh berpegang pada janji.


Pada suatu hari, ketika Lina dalam perjalanan pulang dari kerja, dia telah menemui kemalangan yang agak teruk. Dia tidak sedar selama beberapa hari. Selepas dia tersedar, dia melihat ibunya sedang teresak-esak menangis di sisinya. Ketika itulah dia menyedari bahawa keadaannya agak parah. Dia ingin memujuk dan bercakap-cakap dengan ibunya tapi suaranya tidak keluar. Barulah dia tahu bahawa dia telah kehilangan suara akibat daripada kemalangan itu.


Dunia dirasakan gelap buat seketika. Dia menangis mengenang nasib dirinya yang sudah tidak seperti dulu lagi. Kini, dia telah menjadi bisu. Lina bernasib baik kerana ibubapanya sentiasa memberi semangat kepadanya untuk terus hidup. Namun banyak masa dihabiskan di dalam bilik tidurnya. Adakalanya dia menangis sendirian lebih-lebih lagi ketika mendengar bunyi talipon berdering. Dia tahu panggilan itu dari Khairil tapi dia tidak ada kekuatan untuk menjawab panggilan itu. Bagaimana untuk menjawab sedangkan dia telah kehilangan suara.


Akhirnya pada suatu hari Lina mengambil keputusan untuk menghantar sepucuk surat kepada Khairil. Dalam surat itu Lina mengatakan dia sudah tidak sanggup lagi untuk menunggu Khairil. Cincin pertunangan mereka dipulangkan kepada Khairil berserta surat itu. Sudah tentu Khairil terkejut dengan keputusan Lina. Berkali-kali dia menghantar email dan menalipon Lina namun tiada satu pun email itu mendapat balasan dan tiada satu pun panggilan talipon dijawab oleh Lina. Sesungguhnya Lina sendiri merasa berat dan sedih dengan keputusan yang dibuatnya tapi dia terpaksa kerana tidak sanggup menyusahkan Khairil dengan kecacatannya. Berharian Lina menangis kesedihan. Ibubapanya mengambil keputusan untuk berpindah dari kawasan itu dengan harapan Lina akan melupakan segalanya dan hidup seperti sediakala.


Di tempat baru, Lina berusaha sedaya upaya belajar bahasa isyarat. Setiap hari, dia memberitahu dirinya sendiri supaya melupakan Khairil walaupun tentunya dia tidak akan dapat berbuat demikian. Suatu hari, kawannya Yatie datang ke rumah dan memberitahu bahawa Khairil telah tamat belajar dan telah pulang ke tanahair. Lina meminta supaya Yatie merahsiakan tempat tinggal barunya dan tidak memberitahu apa-apa tentang kemalangan tersebut kepada Khairil. Sejak itu dia tidak mendengar apa-apa berita lagi tentang Khairil.


Setahun kemudian, Yatie datang lagi menziarahinya. Kali ini kedatangan Yatie membawa sekeping kad undangan perkahwinan Khairil. Betapa remuk hatinya. Airmatanya berlinangan memandang kad itu. Dia tidak ada kekuatan untuk membuka kad undangan tersebut namun hatinya ingin tahu siapakah gadis yang bakal mengganti tempatnya di samping Khairil. Alangkah terkejutnya Lina bila dia melihat namanya tercatat di kad undangan itu. Ketika dia ingin mendapat kepastian dari Yatie, tiba-tiba entah dari mana, Khairil muncul di hadapannya.


Khairil menggunakan bahasa isyarat untuk memberitahu Lina.


"Selama setahun, aku sedaya upaya belajar bahasa isyarat untuk berkomunikasi dengan kamu. Aku tidak pernah melupakan janjiku untuk menjagamu selagi aku masih bernafas. Berilah aku peluang menjadi suara untukmu. Sungguh aku cinta padamu walau apa sekalipun keadaan kamu sekarang"


Di saat itu juga Khairil mengembalikan cincin pertunangan mereka dahulu dengan disaksikan oleh Yatie. Lina hanya mampu menangis. Dia rasa terharu dengan ketulusan cinta Khairil itu...


from tirana meniti hari.
---------------------------------------------------------------------------------------------

Syukur.....
kerana dia menyintaiku sekadar dibibir
kerana dia menyintaiku secara zahir
kerana dia menyintaiku

Syukur.....
kasih kepuraannya
kasihnya kerana jiwanya kosong
kekosongannya mendekatkan hati

Syukur....
rindunya kekal di kalbu
rindunya masih di mata hati
rindunya pada saat jiwa berkongsi

Syukur....
cinta, kasih dan rindu
tika dia jemu
tika dia perlu

Syukur....
semuanya dari dia
dia yang menghulur
dia yang memberi

Dirinya mendekati
kerna rasa kasihan
kerna rasa sayu
pada tangisan palsu
pada manis meracun kalbu
meresap gelap
sehingga datang cahaya
bunga api.....yang indah cuma seketika!!!

Saat cahaya itu padam
Dia kan melirik cahaya baru
Itu pasti....

Dan aku
masih syukur...
kerna pernah memberikan cahaya
pada kesamaran jiwanya
di saat kekosongan melanda

Syukur....juga
di kala kekosongan itu
aku yang menjadi pilihannya..

0 kata hati:

 
template by suckmylolly.com flower brushes by gvalkyrie.deviantart.com